Kelakuan Burung pucung seriap

Pemakanan

Burung pucung seriap adalah pemangsa puncak di ekosistem akuatiknya.[12] Dengan paruhnya yang panjang, ia menangkap ikan, amfibia, krustasea, dan serangga di air cetek. Ia juga pernah diperhatikan menangkap dan membunuh anak burung seperti itik dan ada kalanya melawan burung sebesar sintar air atau sintar berkerongkong putih [en].[13][14] Yang turut dijadikan mangsa adalah mamalia kecil seperti tikus dan arnab.[15][16]

Pembiakan

Burung pucung seriap terbang menggondol bahan pembinaan sarang di Stockholm, Sweden

Spesies ini membiak secara berkumpulan (koloni), lazimnya di pohon-pohon tinggi yang dekat dengan tasik, pinggir laut, atau mana-mana tanah lembap. Ada kalanya ia memilih tempat lain seperti pokok renek, padang semak berduri, padang rumput mensiang, atau tepi cenuram. Sarang pucung seriap digunakan semula tahun demi tahun sehingga tumbang ditiup angin; ia bermula sebagai lapisan kecil batang kayu tetapi lama-kelamaan ditimbuni bahan lain sehingga menjadi besar dan tebal. Sarang juga boleh dihiasi dengan ranting kecil, lembaran akar atau rumput layu. Selalunya yang jantan mengumpul bahan dan yang betina membina sarang. Aktiviti membiak berlaku antara Februari dan Jun. Apabila seekor burung tiba di sarang, berlakunya 'upacara' bertegur sapa di mana setiap pasangan menaik-turunkan sayap dan bulunya.[17]

Dewasa menyuap anak-anak

Sesangkak telur pucung seriap biasanya terdiri daripada tiga hingga lima biji, namun juga pernah dicatatkan sangkak sesedikit dua dan sebanyak tujuh biji. Telurnya berpermukaan pusam dan berwarna biru kehijauan dengan ukuran purata 60 mm × 43 mm (2 3⁄8 in × 1 11⁄16 in). Telur biasanya dikeluarkan setiap dua hari sebiji dan pengeraman biasanya bermula selepas telur pertama atau kedua dikeluarkan. Kedua-dua burung terlibat dalam pengeraman yang memakan masa sekitar 25 hari. Kedua-dua ibu bapa membawakan makanan untuk anak. Pada mulanya, anak-anak mencengkam tepi paruh dewasa dan menyedut makanan yang diluahkan dari situ. Kemudian, dewasa memuntahkan makanan di sarang untuk direbut oleh anak-anak. Anak-anak mula terbang pada umur 7-8 minggu. Biasanya burung ini beranak sekali setahun, tetapi juga pernah direkodkan yang beranak dua kali setahun.[10]

Burung pucung seriap tertua dalam rekod hidup selama 23 tahun, tetapi purata jangka hayat burung liar hanya sekitar 5 tahun. Hanya kira-kira satu pertiga pucung muda hidup hingga tahun kedua kerana banyak yang menjadi mangsa haiwan lain.[17]

Rujukan

WikiPedia: Burung pucung seriap http://images.google.com/images?svnum=10&hl=en&lr=... http://www.parlimen.gov.my/files/billindex/pdf/201... https://www.google.com.my/search?hl=en&tbm=bks&ei=... https://books.google.com.my/books?id=gKfkbf9fPUYC&... https://www.nationalgeographic.com/animals/2020/09... https://animaldiversity.org/accounts/Ardea_cinerea... https://web.archive.org/web/20160112220326/http://... http://www.heronconservation.org/styled-5/styled-6... https://www.biodiversitylibrary.org/page/727050 https://archive.org/stream/Helm_Dictionary_of_Scie...